![]() |
Kapal Korek Sri Banting |
1.Kapal korek Sri Banting atau Sri Banting Dredge adalah
sebuah kapal korek yang digunakan untuk melombong bijih timah. Kini kapal korek
yang mempunyai berat 4500 tan ini sudah tidak digunakan lagi dan tersadai sepi
di tepi lombong bersebelahan Lebuhraya ELITE di Dengkil, Selangor (setakat yang
diketahui, kapal korek ini masih lagi disitu).
2. Kapal korek Sri Banting yang pernah dioperasikan oleh
syarikat Timah Langat Berhad (mula beroperasi pada tahun 1977) merupakan kapal
korek terakhir yang masih wujud di Selangor, dan salah satu dari dua yang masih
tinggal di Malaysia selepas Kapal korek Tanjung Tualang 5 (TT5 Dredge).
![]() |
Kapal korek TT5 di Batu Gajah Perak berjaya dipulihara dan kini sedia dikunjungi. Sumber |
3. Kapal korek TT5 kini dijadikan Muzium Warisan Kapal Korek Bijih Timah di Batu Gajah, Perak dan dibuka semula untuk dilawati oleh umum pada sekitar 2018 (bakal menjadi kapal korek terakhir) manakala nasib Sri Banting pula kian kabur. Harga yang perlu dibayar untuk membelinya sekitar lapan juta ringgit, itu tidak termasuk kos untuk membaiki kecacatan dan kerosakkan akibat dibiar sepi terlalu lama. Tanah tempat kapal korek itu pernah beroperasi telah diserahkan oleh Kerajaan Negeri kepada pemaju, dan mahkamah telah mengeluarkan perintah agar Sri Banting dikeluarkan dari tapak lokasinya kini selewatnya hingga Disember 2020.
4. Suatu masa dahulu kapal korek Sri Banting seperti mana
lain-lain kapal korek beroperasi selama 24 jam tanpa henti. 15 orang pekerja
diperlukan untuk mengoperasikannya dalam sesuatu masa bagi setiap syif.
5. Sri Banting adalah antara kapal korek yang direka untuk
tidak beroperasi menggunakan sistem pendorongnya sendiri (without on-board
generation set) sebaliknya menggunakan kuasa elektrik dari penyedia
perkhidmatan utiliti TNB (sebelumnya LLN). Kabel elektrik disambung ke Sri
Banting dengan cara ia diapungkan di atas permukaan air.
6. Pada tahun 1990, kos operasinya dari bil elektrik sahaja
(tidak termasuk gaji kakitangan) menelan belanja RM140 ribu hingga RM150 ribu
sebulan. Sri Banting memiliki 110 bucket yang digunakan untuk mengeruk ke dalam
bumi sehingga kedalaman 25 meter bagi melombong bijih, yang mana setiap satu
bucket pada ketika itu bernilai RM10 ribu.
7. Setiap bucket perlu ditukar jika ia telah mencecah 35
ribu jam penggunaan atau bersamaan dua tahun. Anggaran kos untuk memiliki kapal
korek pada sekitar tahun70an - 80an adalah sekitar 20 hingga 25 juta ringgit
bergantung pada saiz dan keupayaan.
![]() |
Kapal korek Sri Banting ketika masih beroperasi sekitar akhir 90an atau awal 2000an. Credit: “A gold mine in tin” Monday, 13 August 2007 06:01am ©The Sun by Joyce Au-Yong |
TAHUKAH ANDA (Fakta Ringkas Mengikut Kajian Penulis mengenai
Perlombongan Bijih Timah di Selangor).
8. Syarikat Timah Langat Berhad adalah syarikat yang
ditubuhkan oleh PKNS pada 1973 sebelum dipindah milik kepada Kumpulan
Perangsang Selangor (KPS) pada akhir 70an. Di bawah KPS iaitu pada akhir 70an
hingga awal 80an, Timah Langat Berhad menjadi syarikat yang paling
menguntungkan. pada 1983, KPS perlu akur dengan arahan dari Timbalan Perdana Menteri
iaitu Tun Musa Hitam supaya Timah Langat Berhad bersama dua lagi anak syarikat
KPS diambil alih oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB).
![]() |
Keratan akhbar pemindahan milik Timah Langat Berhad dari KPS ke PNB |
9. Selain Timah Langat Berhad, Selangor Dredging Berhad
(SDB) dan Petaling Tin Berhad adalah antara syarikat perlombongan yang pernah
beroperasi di lombong-lombong sekitar Dengkil dan Paya Indah (Kuala Langat Tin
Field).
10. Kampung Selangor Dredging yang terletak ditengah antara
lombong-lombong dekat Dengkil dan Paya Indah bersebelahan Lebuhraya ELITE
adalah sebuah kampung yang menempatkan kediaman (kuarters) untuk kakitangan SDB
bermula sekitar 60an, dan kampung itu masih wujud hingga kini.
11. Memandangkan SDB adalah syarikat terawal yang
mengoperasikan kapal korek di kawasan berkenaan, sebahagian pekerjanya yang menetap
disitu ramai yang berasal dari Perak dan kawasan lain seperti Kuala Lumpur. Ini
kerana mereka memilki pengalaman yang cukup luas dalam pengoperasian kapal
korek berbanding penduduk tempatan.
12. SDB menghentikan operasi perlombongannya pada Mac 1992
setelah operasi SD Dredge no.1 telah diberhentikan sepenuhnya dan
beralih kepada perniagaan sektor hartanah akibat harga timah dunia jatuh
menjunam. (SD Dredge no.1 siap dipasang pada tahun 1966 dan ditauliahkan pada
tahun 1967).
![]() |
SD Dredge no 2 dinamakan semula sebagai Merapin setelah selamat tiba di Indonesia. Untuk mengetahu bagaimana firma tempatan memindahkan kapal korek ini ke Indonesia, penulis ada nukilkannya pada perenggan 'Pemindahan' di sini (Wikipedia). Credit: OCIE |
13. Kedua-dua kapal korek (yang terbesar di dunia) milik SDB telah dijual bermula pada pertengahan 80an dimulai dengan SD Dredge no.2 kepada syarikat perlombongan timah di Kepulauan Bangka, Indonesia. Manakala kapal korek milik Petaling Tin Berhad iaitu Petaling Dredge no.9 (Pet D9) yang kelihatan masih dalam keadaan sangat baik dan pernah menjadi tarikan di Paya Indah Wetland telah hilang dari lokasi terakhirnya yang diketahui di Paya Indah sekitar 2009 setelah dilupus dan dijual.
![]() |
Kapal korek Petaling D9 ketika masih berada di Paya Indah Wetland Sumber: OCIE |
![]() |
Antara gambar terakhir kapal korek Petaling D9 di Paya Indah Wetland sekitar tahun 2007 sebelum menjadi sejarah |
![]() |
Tiga turutan gambar satelit diambil dari Google Earth menunjukkan kedudukan Petaling Dredge No 9 (Pet D9 Dredge) seperti yang dilihat di Paya Indah Wetland sebelum dilupus sekitar tahun 2008-2009. |
14. Antara syarikat pelombongan lain yang diketahui pernah beroperasi di Selangor adalah seperti Selayang Tin Dredging dan Rawang Tin Fields. Rawang Tin menempatkan pekerjanya di kuarters pekerja di Kampung Rawang Tin di Rawang (kini telah dibangunkan semula oleh Kerajaan Negeri menjadi Taman Rawang Tin).
15. Kampung Rawang Tin adalah antara penempatan terawal yang
memperolehi kemudahan bekalan elektrik setelah elektrik disalurkan ke kawasan
disitu dan sekitarnya bagi menyokong aktiviti perlombongan bijih timah 24 jam
sehari.
TRAGEDI HITAM KAPAL KOREK
16. Siapa pun tidak akan dapat melupakan peristiwa pahit
tragedi hitam yang pernah terpalit dalam sejarah perlombongan Negara. Pada hari
Rabu tanggal 8 haribulan Ogos 1984, sebuah kapal korek milik Sungai Klang
Dredging Sdn Bhd terbalik di sebuah lombong yang terletak di Batu 13 Puchong.
17. Menurut sumber, kejadian menyayat hati itu menyebabkan
tujuh orang terkorban. Tiga puluh orang sedang berada di kapal korek berkenaan
ketika kemalangan itu berlaku.
18. Tujuh orang terperangkap dalam kapal korek tersebut melibatkan empat orang pekerja biasa, dua orang jurutera dan seorang lagi adalah pemilik kapal dan syarikat berkenaan, Michael Tang.
18. Tujuh orang terperangkap dalam kapal korek tersebut melibatkan empat orang pekerja biasa, dua orang jurutera dan seorang lagi adalah pemilik kapal dan syarikat berkenaan, Michael Tang.
![]() |
Terbalik! Pic Credit: Bernama |
19. Selebihnya berjaya menyelamatkan diri dengan melompat ke
dalam (kawasan) lombong sedalam 25 meter itu dan berenang ke darat, dimana
mereka dibawa ke klinik kerajaan yang berhampiran untuk mendapatkan rawatan.
Orang ramai dan media mengerumuni lokasi |
Bahagian atas. Operasi menyelamat menjadi sukar ekoran kedalaman lombong dan struktur dalam badan kapal korek yang sempit dan ditenggelami air |
Pekerja yang sedang bercuti ketika kejadian berlaku memberi khidmat bantuan teknikal mengenai struktur dalaman kapal korek kepada pasukan penyelamat |
Pihak PDRM mengawal lokasi kejadian |
20. Operasi mencari dan menyelamat dimulakan serta-merta tetapi kemudian mula terhalang apabila hari semakin gelap. Ketua Polis Selangor Komisioner Abdul Rahim Mohamed Noor, yang bertanggungjawab bagi operasi itu berkata kejadian ini dipercayai adalah yang pertama seumpamanya. Beliau berkata, anak-anak kapal dan jurutera sedang menjalankan proses pembaikan pada kapal korek malang itu sejurus sebelum kemalangan itu berlaku. Menteri Perusahaan Utama, Datuk Paul Leong mengarahkan agar siasatan dijalankan segera.
21. Pegawai kerajaan Yip Siew Ngoh, Senior Inspector of
Mines, bahagian selatan, berkata kapal korek terbalik selepas salah satu
pontoon yang menyokongnya bocor. Ketika usaha pembaikkan dijalankan, Ia mula
hilang imbangan hingga dimasuki terlalu banyak air selepas salah satu dari pam bantuan yang mengepam air dari dalam pontoon pula tiba-tiba gagal berfungsi.
Contoh bahagian dalam pontoon di sesebuah kapal korek. Gambar bahagian dalam pontoon kapal korek Sri Banting. Credit: Mastur Rizki |
22. Keadaan cemas sekelip mata yang sudah tidak terkawal itu menyebabkan air bah dengan pantas ke dalam badan kapal dari sebelah salah satu sisi mengakibatkan kapal korek malang itu terus condong dan terbalik sepenuhnya hingga bahagian bawahnya timbul dengan sedikit menyenget dipermukaan air. (Menurut saksi rantai/tali yang menambatnya ke tebing juga turut terputus).
23. Salah seorang mangsa yang terkorban adalah ayah kepada
selebriti Jimmy Shanley Salleh, berasal dari Britain tetapi bekahwin dengan
rakyat tempatan dan berkhidmat sebagai jurutera kapal korek berkenaan.
![]() |
Credit: Instagram Jimmy Shanley |
24. Kemalangan yang tidak diduga ini juga sempat mencetuskan
polimik diantara ahli keluarga mangsa dan pihak yang bertanggungjawab
melibatkan keupayaan anggota penyelam TLDM dalam aktiviti menyelamat yang
mengambil masa berhari-hari lamanya. Malah pada hari kedua selepas kejadian,
setelah 5 jam mencuba, masih tiada satu mangsa yang dikhuatiri lemas berjaya
ditemui.
Kawasan lombong milik Sungai Klang Dredging Sdn Bhd |
Sebuah lagi kapal korek milik Sungai Klang Dredging berada tidak jauh dari lokasi kejadian |
25. Kegagalan penyelam TLDM membawa keluar baki mangsa yang hilang walaupun operasi menyelam untuk mencari dilakukan setiap hari telah melahirkan perasaan kurang senang ahli keluarga mangsa hingga menyebabkan mereka meminta Menteri Besar Selangor Datuk Haji Ahmad Razali Ali dan beberapa pihak lain masuk campur untuk membiayai kos bagi mengunakan khidmat penyelam komersial.
26. Frogmen dari TLDM nampaknya tidak boleh menjalankan
operasi menyelamat dengan berkesan kerana ketika itu penyelam TLDM hanya
berbekalkan kelengkapan menyelam yang asas serta masih belum dilengkapi
perlatan yang bersesuaian dalam usaha menyelamat. Air lombong yang keruh dan
halangan di dalam air terutamanya dalam rangka kapal korek yang berbahaya
menghadkan keupayaaan anggota TLDM. (Kesemua mangsa hanya berjaya dikeluarkan
seminggu kemudian setelah air lombong dengan kedalaman 25 meter itu dengan
anggaran berjumlah 135 juta gelen berjaya dipam keluar.)
Penyelam TLDM membaca doa sebelum memulakan operasi menyelamat di bawah air. |
27. Menyedari akan hakikat pentingnya keperluan seperti ini, kejadian ini seolah membuka mata kepada pihak kerajaan selepasnya apabila Jabatan Bomba (kini Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia) dan beberapa agensi lain mula dilengkapi dengan peralatan menyelam yang khusus dan bersesuaian bagi operasi menyelamat.
28. Rentetan dari peristiwa hitam ini juga telah menyebabkan
pihak Kerajaan mengemaskini dan memperketatkan piawaian keselamatan yang wajib
dipatuhi oleh semua syarikat perlombongan dan para pekerjanya.
29. Terdahulu sebelumnya, iaitu pada hari ketiga beberapa
orang penyelam komersial dari Subsea Marine and Underwater Services telah
dengan sukarela menawarkan kepakaran bagi membantu operasi menyelamat yang
dijalankan TLDM. Dengan kelengkapan menyelam yang maju, mereka berjaya
mengeluarkan tiga mayat mangsa iaitu pemilik lombong Michael Tang Tet Kong,
Jurutera Nor Johan Abdullah dan seorang lagi T. Ramachandran. (Seorang lagi
mangsa iaitu ketua shif Tahir Ibrahim turut ditemui selepas mayatnya timbul di
permukaan lombong.)
30. Walaubagaimana pun selepas dua hari mereka terpaksa
pulang semula ke Lumut kerana terikat dengan kerja-kerja kontrak yang perlu
mereka selesaikan disana dan tugas-tugas mencari diteruskan oleh anggota TLDM.
31. Tertekan dengan isu ini, ada ahli keluarga mangsa yang
terpaksa menggunakan khidmat bomoh. Seorang bomoh yang dikenali dengan nama Kia
bin Arshad tiba dengan menaiki kereta Mercedes-Benz pada 12 Ogos. Wajah beliau
terpampang di dada akhbar keesokkan harinya.
32. Menurut beliau kesukaran anggota TLDM menemui baki
mangsa adalah disebabkan tiada ‘tawaran’ dibuat kepada penunggu lombong. Beliau
kemudian bersama beberapa ahli keluarga mangsa ke lokasi kejadian untuk
berkumpul bagi membaca doa sebelum mereka mencampakkan telur dan batu kedalam
lombong berkenaan.
33. Seorang penyelam TLDM juga diminta oleh bomoh itu untuk
mencampakkan telur kedalam lombong kerana menurutnya mereka adalah pasukan yang
akan melaksanakan pencarian baki mangsa di lombong berkenaan. Dalam akhbar NST
bertarikh 13 Ogos, Bomoh Kia bin Arshad dipetik sebagai berkata “Saya berharap
dengan tawaran telur-telur dan batu itu, para penyelam tidak akan menghadapi
apa-apa kesukaran dalam cubaan untuk menemui baki mayat yang tinggal.”
34. Beliau pulang sejurus selepas penyelam TLDM memulakan
operasi. Tetapi apabila operasi dihentikan pada tengah hari masih tiada
tanda-tanda yang baki mangsa akan ditemui.
35. Akhirnya kesemua baki mangsa yang terperangkap hanya
berjaya dikeluarkan selepas lombong berkenaan berjaya disurutkan menggunakan
mesin pam milik Jabatan Pengairan dan Saliran beberapa hari kemudian.
![]() |
Credit: Instagram Jimmy Shanley |
KAPAL KOREK - KEGEMILANGAN YANG KIAN PUDAR
35. Semenjak kejatuhan harga pasaran bijih timah dunia pada
sekitar tahun 1982, banyak operasi kapal korek di Malaysia terpaksa dihentikan.
Pada awal 90an pula pasaran timah dunia menjadi semakin teruk merosot manakala
kebanyakkan kawasan yang ditemukan bijih timah sudah ketandusan bijih yang
mempunyai gred yang bermutu tinggi seperti sebahagian lombong-lombong terdahulu
ketika era kegemilangannya.
36. Rata-rata jumlah konsentrasi timah yang direkodkan di
kebanyakkan lombong di Malaysia pada sekitar awal 90an bagi setiap deposit
tanah hanya mengandungi hasil timah 0.1kg/m3 berbanding diposit dari negara
lain seperti Brazil yang boleh mencapai kandungan sebanyak 3kg/m3.
37. Atas faktor inilah antara penyebab kenapa perlombongan
timah menggunakan kapal korek dihentikan. Namun perlombongan menggunakan kaedah
lain masih ada yang berjalan.
38. Timah di Malaysia dengan gred yang rendah sudah tidak
lagi berbaloi untuk dilombong menggunakan kapal korek apabila hasil yang
diperolehi tidak mampu menanggung kos operasi. Kos memindahkan kapal korek dari
lombong lama yang telah haus ke lombong baru juga harus dikaji pada waktu itu
kerana ia menelan belanja yang agak besar dan membebankan syarikat.
39. Pemindahan kapal korek dari lombong lama ke lombong baru
adalah perkara biasa ketika era kegemilangan timah di Malaysia. Sebagai contoh, Pacific Tin Consolidated Corporation pernah
memindahkan dua buah kapal koreknya dari Perak ke Batang Berjuntai.
40. Ketika penulis masih kecil, penulis pernah berpeluang
melihat sendiri kapal korek di depan mata. Melewati berapa buah lombong dengan
beberapa buah kapal korek terlihat dikejauhan membuatkan perasaan ingin tahu
penulis kian bekobar. Dengan penuh ketaksuban mata penulis yang tak berkerdip
melihat kapal korek dengan seribu persoalan mencanak di benak fikiran.
41. Bersungguh soalan diajukan kepada keluarga dengan
bertalu. Penulis yang berasal dari daerah Kuala Selangor memberi kelebihan
untuk melihat kapal korek yang beroperasi dan yang tersadai tidak digunakan
sekiranya dibawa melalui kawasan Batang Berjuntai (kini Bestari Jaya).
42. Ketika zaman kemuncaknya dikatakan terdapat tidak kurang
13 buah kapal korek beroperasi di Batang Berjuntai. Kapal korek digunakan oleh
syarikat-syarikat bijih timah yang beroperasi disitu antaranya Berjuntai Tin
Dredging Berhad dan Pacific Tin Consolidated Corporation.
![]() |
D8 milik Pacific Tin Consolidated. Kredit gambar: Nazari |
43. Kini Berjuntai Tin Dredging Berhad telah beralih dari perniagaan
sektor perlombongan kepada sektor pembuatan sarung tangan antarabangsa dan
menukar namanya pada tahun 2004 menjadi Integrated Rubber Corporation Berhad.
44. Kali terakhir penulis melihat kapal korek di Batang
Berjuntai ialah ketika bersekolah rendah dalam lingkungan darjah 5 atau 6.
Kebanyakkan kapal korek itu telah tersadai usang di tepi lombong serta sudah
tidak lagi beroperasi. Malangnya beberapa tahun selepas penulis tamat tingkatan
5, seingat penulis tiada satu kapal korek pun yang kelihatan.
![]() |
Kapal 9, Berjuntai Tin Dredging |
45.Kapal korek terakhir milik Berjuntai Tin Dredging Berhad
telah dijual sekitar tahun 2000-2001.
46. Kini sebahagian kecil lombong itu telah ditimbus dan
dijadikan tapak berdirinya UNISEL hari ini. Tidak jauh dari situ terletaknya
Kampung Berjuntai Tin (kini ditukar namanya Oleh Sultan Selangor menjadi
Kampung Bestari Jaya) sebuah penempatan yang disediakan oleh Berjuntai Tin
Dredging Berhad sebagai kuarters pekerja serta ahli keluarga mereka.
47. Kampung Pasifik Tin yang pernah wujud di Batang Berjuntai
adalah penempatan para pekerja syarikat Pacific Tin Consolidated Corporation di
kawasan berkenaan.
DAHULU DAN KINI
48. Dari segi sejarah, Semenanjung Tanah Melayu menjadi
sinonim dengan perlombongan bijih timah, dan ia berkembang dengan pesat pada
tahun 1883, apabila Malaya mendahului Britain untuk menjadi pengeluar bijih
timah yang terbesar di dunia.
49. Perang Korea dan perang Vietnam merancakkan lagi
aktiviti perlombongan timah di Malaysia apabila permintaan terhadap logam itu
meningkat tinggi.
50. Menurut Malaysia Smelting Corporation Bhd (MSC), dalam
tahun 1970-an, Malaysia mengeluarkan bijih daripada 1,000 buah lombong bijih
timah dengan menghasilkan purata lebih 70,000 tan metrik setahun.
![]() |
Salah satu kapal milik AA Tin di Sungkai, Perak |
51. Pada tahun 1990, berikutan kejatuhan industri pada tahun
1985, pengeluaran tahunan setelah dihadkan bagi mengimbangi harga adalah
sebanyak 20,700 tan - dengan Malaysia menjadi pengeluar bijih timah yang
keempat terbesar di dunia.
52. Hanya lapan tahun kemudian, industri bijih timah di
Malaysia mengalami penurunan mendadak, dengan hanya menghasilkan sebanyak 5,800
tan bijih timah setahun. China, dalam perbandingan berjaya melombong 79,000 tan
bijih timah, dan mengambil alih kedudukan sebagai pengeluar timah No. 1 di
seluruh dunia.
53. Majlis Timah Antarabangsa runtuh pada tahun 1985,
meninggalkan hutang kasar sebanyak hampir AS $ 1.5 bilion (RM5.19 bilion), dan
menyebabkan harga bijih timah dunia jatuh sebanyak hampir 57%.
54. Malaysia telah terjejas dengan teruk, dan ditambah pula
dengan krisis ekonomi pada 1985, harga timah telah jatuh dari RM32,000 se-tan
pada tahun 1970-an kepada kurang daripada RM17,000 bagi setiap tan pada tahun
1985. lombong di Indonesia dan China juga dapat melombong logam itu pada kos
yang lebih rendah, dan Malaysia sudah tidak dapat bersaing.
55. Kini Rahman Hydraulic Tin Sdn Bhd (RHT) dan KL Larut Sdn
Bhd adalah antara syarikat-syarikat perlombongan yang masih bergiat aktif dalam
perlombongan timah di Malaysia. RHT telah lama ditubuhkan sejak sekian lama dan
beroperasi di lombong pit terbuka di lombong bijih timah elluvial terbesar
terletak di Klian Intan, Daerah Pengkalan Hulu, Hulu Perak, Perak. RHT memiliki
dan mengendalikan lombong dedah dengan menggunakan jentera berat untuk memecah
batuan keras.
56. Hari ini, menurut MSC, Malaysia hanya menghasilkan
kurang dari 5,000 tan metrik setahun - 1.8% daripada output global 270,000 tan.
57. Terkini Kerajaan Negeri Perak pula berhasrat untuk
mengembalikan kegemilangan perlombongan timah dengan menghidupkan semula
industri perlombongan timah di Negeri itu bagi menjana ekonomi setempat dan
menambah pendapatan negeri. Beberapa firma akan diberi peluang untuk melakukan
kajian bagi menilai tanah Kerajaan Negeri yang mempunyai bijih timah sebelum
aktiviti perlombongan boleh dimulakan.
JUSUH
nota: penulis turut berkongsi penulisan tentang kapal korek
dengan terperinci di Wikipedia melalui: https://ms.wikipedia.org/wiki/Kapal_korek_di_Malaysia
Bahan rujukan penulisan:
1.NSTP pelbagai tarikh (80an – awal 90an)
2.The Star ~
3.The Sun Daily ~
4.The Edge Property ~
5.“A gold mine in tin” Monday, 13 August 2007 06:01am ©The
Sun by Joyce Au-Yong
6.Out in the Midday Sun: The British in Malaya 1880-1960
7.Register of Defunct Companies - Page 411
8.Tin Mining in Malaysia, 1800-2000: The Osborne &
Chappel Story
By David Palmer, Michael Joll
Tiada ulasan:
Catat Ulasan